|
|
| HOME | 2001 | 2003 | 2004 | 2005 | 2006 | 2007 | 2008 |
|
MUTAKHIR Sister Enda: Berhimpun jika tiada lagi ruang bersuara 11-12-2007 08:55:27 PM Oleh AZRIL ANNUAR PETALING JAYA: Bajailah benih keamanan dan keharmonian dengan penghayatan dan kefahaman tentang budaya, adat resam dan agama kerana ia amat berkesan bagi mencapai kejayaan, demikian petua amat berharga daripada Sister Enda Ryan, pengasas Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya. Katanya semasa menjadi pendidik dulu, benih itulah yang telah beliau semai di hati dan minda pelajarnya. "Di Assunta, dalam mendidik pelajar, saya lebih memberi penekanan terhadap hati berbanding otak mereka agar mereka memiliki perasaan cinta, kasih sayang, persefahaman dan menghargai antara satu sama lain. Kita semua makhluk Tuhan. "Ketika mula-mula menjejakkan kaki di sini pada Januari 1955, saya amat terkejut melihat wujudnya sikap saling memahami dan menghargai antara satu sama lain dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik. Perkara seperti ini tidak wujud di tempat kelahiran saya di Ireland. "Saya sungguh gembira kerana kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada mengamalkan ajaran agama mereka dan membenarkan setiap orang beribadat menurut kepercayaan masing-masing," katanya dalam temubual dengan Bernama di Konven Assunta di sini. Sejajar dengan ajaran agama yang dianutinya, Enda, yang memperoleh kerakyatan Malaysia pada 1966, berkata beliau percaya kepada penyelesaian secara aman bagi menyelesaikan sesuatu sengketa. Enda berkata beliau sedih kerana mendapati ada pihak tertentu di negara ini gemar mengadakan perhimpunan haram. Katanya mereka yang terlibat dengan perhimpunan haram itu sepatutnya hanya keluar menyuarakan bantahan mereka di jalan raya jika semua ruang untuk berbincang sudah tiada dan bukan menjadikan tindakan itu sebagai cara utama untuk memastikan suara mereka didengari. "Mungkin, kerajaan patut membenarkan mereka berarak. Tapi, saya tak tahu apa yang mungkin terjadi sekiranya pihak berkuasa tidak menyekat orang seperti ini... saya tak mahu Peristiwa 13 Mei berlaku sekali lagi kerana saya ada di situ semasa ia berlaku dulu," katanya. Enda, yang lahir pada 30 Dis 1928, berkata antara bekas pelajarnya ialah pengasas Mercy Malaysia, Dr Jemilah Mahmud. "Saya gembira melihat semangat yang wujud di sekolah itu dulu, kini hidup subur dalam diri beliau. Inilah yang patut menjadi amalan semua rakyat Malaysia," katanya. Bagi menghargai jasa beliau dalam bidang pendidikan di Selangor dan dalam mendidik pelajar Malaysia daripada pelbagai kaum sejak Merdeka, Enda, atau nama asalnya Ellen Philomena Ryan, dianugerahi gelaran Datin Paduka oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena ulang tahun keputeraan baginda hari ini. Enda mula bertugas di negara ini ketika berusia 21 tahun selepas mendapat ijazah dalam bidang pendidikan, psikologi dan falsafah daripada sebuah universiti di Ireland. BERNAMA |